*KEHIDUPAN*

.:PUASA@SOUM : KACA MATA SAINS:.  

Wednesday, September 16, 2009


PENGHUJUNG RAMADHAN

Hari ini Ramadhan ke 27, tinggal lebih kurang 3 hari sebelum tirai Ramadhan dilabuhkan. Malam semalam, malam ke 27 Ramadhan saya beruntung memperoleh keseronokan di ulik bacaan Imam dari Arab Saudi di Masjid Putrajaya. Disamping bacaan qunut panjang yang menginsafkan serta zikir nasyid yang mengujakan. Dihiasi pula dengan majlis khatam al-Quran, seolah-olah berada ditanah arab pula rasanya. AlhamduliLLAH.

Pakej berganda ruang kerahmatan, ruang keampunan dan ruang pelepasan dari api neraka akan tamat tempohnya beberapa ketika nanti. Seharusnya, kita mampu berkira-kira apakah Ramadhan kali ini memberi nilai efektif pada diri? Tanyalah iman didalam diri sendiri.

Kali ini saya sekadar ingin berkongsi info saintifik tentang puasa. Mungkin agak lambat, seharusnya ia di post di awal ramadhan, tapi rasanya tiada masalah kerana pengetahuan sains yang mengukuhkan tuntutan ibadah amat penting dalam memperkukuhkan struktur aqidah dan nilai yakin pada Rabb dan Ilah kita yang Esa. Moga ia bermanfaat dan mengukuhkan amalan puasa kita samada puasa wajib ataupun yang sunnat. InsyaALLAH, mudah-mudahan.

SIHATKAH ANDA DENGAN PUASA?

Tahukah anda, puasa dapat menyihatkan badan?
Mengapa? Puasa dapat mengurangkan kandungan paras gula ke paras yang rendah tanpa memudaratkan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu LDL (low density lipoprotein) menurun, dan pada masa yang sama kolesterol baik iaitu HDL (high density lipoprotein) akan meningkat.

Paras lemak dalam darah juga akan berkurangan. Selain ia juga dapat memberi kesan positif pada metabolisme badan dan mencegah penyakit yang berkaitan dengan lebihan lemak dan gula seperti kencing manis, diabetes dan lain-lain.Ia dinyatakan oleh Dr Shahid Athar didalam Islamic Perspektif in Medicine. Kajian di atas telah dibuktikan melalui kajian yang dilakukan pada 1984, Dr Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian pada 42 lelaki dan 26 wanita Islam yang berpuasa. Darah diperiksa untuk kenalpasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan acid lemak. Berat badan ditimbang di awal dan akhir ramadhan. Dan penemuannya seperti di atas.

Kajian ini telah membuktikan puasa menyihatkan tubuh badan kita sebagai manusia. Semestinya positif kerana arahan puasa ini datangnya dari engineer yang mahir dalam selok belok pengurusan tubuh manusia iaitu Allah subhanahu wataala. Menarik bukan?

PUASA DAN DETOKSIFIKASI

Puasa adalah satu proses detoksifikasi (detoxification process) iaitu mencuci atau membersihkan badan dari racun atau toksin. Dr Lonny J.Brown dalam “Adventures in therapeutic fasting’ menyebut beberapa perkara penting berkenaan puasa. Beliau mencadangkan method puasa sebagai alternatif penawar mengantikan kaedah biasa merawat menggunakan ubat. Puasa dapat meransang perubahan metabolisma dan membantu kearah pembaikan dan perbersihan dalam badan. Ini kerana organ berehat dan menyebabkan badan dapat membuang toksin, membuang kotoran dan menyegarkan sel. Ia juga diamalkan oleh orang-orang terdahulu seperti Hippocrates, Galen, Paracelsus yang menggunakan puasa untuk rawatan pesakit. Individu seperti Plato, Socrates, Phytahogas dan Mahatma Gandhi selalu mengamalkan berpuasa. Puasa dapat menyembuhkan penyakit asma, radang sendi, susah tidur, gangguan penghadaman dan sakit kulit. Approved!

Kajian pada haiwan juga yang menjauhkan makanan semasa sakit adalah proses natural kearah penyembuhan. Ia dapat mempercepatkan penyembuhan kerana bakteria perlukan zat besi untuk bertindak, dan ketika berpuasa zat besi akan berkurang, maka bakteria akan lemah. Ia dinyatakan oleh Dr Cindy Engles dalam kajiannya yang bertajuk ‘Wild Health: How animals keep themselves well and what we can learn from them”.

SAHUR PENUH MISTERI

Dalam satu hadis Nabi SAW, Diriwayatkan dari Anas bin Malik ra: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Bersahurlah kalian kerana sesungguhnya bersahur itu adalah berkat. (Hadith Riwayat: Al-Bukhary)

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.”

Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh). Zaid ditanya : “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir. Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi.

Kajian semasa menunjukkan makanan paling utama dalam 24 jam ialah makan pagi. BBC News pada 7/3/2003 melaporkan sarapan lebih penting bagi memelihara kesihatan berbanding makan waktu lain. Kajian Dr Mark Pereira dan rakan-rakan dari Pusat Perubatan Harvard menyatakan bagi mereka yang tidak bersarapan akan berisiko menjadi gemuk, mudah mendapat sakit jantung dan kencing manis. Selain itu kajian sama juga menunjukkan bagi individu yang bersarapan mempunyai risiko 50% lebih rendah diserang masalah lebihan kadar gula dalam darah berbanding individu yang tidak bersarapan.

Bagi kanak-kanak pula kesan tidak bersarapan adalah lebih tinggi disebabkan komposisi tubuh yang kecil. Kajian menunjukkan glukosa dalam darah akan berkurangan apabila kita bangun dari tidur. Dan jika ia berterusan sampai tidak bersarapan , kanak-kanak akan mengalami masalah tumpuan dalam pembelajaran. Negatif bukan?

Disebabkan itu, berasaskan hadis-hadis Nabi SAW yang dibentangkan, kita disunnat memperlambatkan sahur. Ini menunjukkan waktu sahur yang dilewatkan adalah lebih dekat dengan waktu sarapan pagi dan ia akan memberi kesan yang setanding dengan sarapan pagi dalam amalan biasa.

JAGALAH KESIHATAN ANDA

Kehadiran Ramadhan seharusnya di fahami falsafahnya juga secara saintifiknya. Ramadhan mengajar kita membudayakan amalan pemakanan yang sihat dan memberi ruang kepada sistem pencernaan berehat seketika, setelah hampir 11 bulan bekerja tanpa cuti.

Jika falsafah kesihatan Ramadhan dihayati, saya yakin dan percaya pembunuh kembar rakyat Malaysia, Kencing manis-darah tinggi-sakit jantung, tidak akan bermaharajalela. Jika saudara-saudara kita diluar sana mati kelaparan, kita disini mati kekenyangan! Memang berbeza.

PECUTAN AKHIR RAMADHAN

“1,2,3 Pritt!” Bunyi wisel penjaga garisan larian 100m. Tanpa menanti, sepantas kilat, tanpa ‘delay’ atlit-atlit larian melangkah pantas. Pecutannya bukan pecut yang main-main. Bukan pecutan sekadar larian biasa, tapi pecutan penuh sepanjang 100 meter.

Biar letih, biar termengah-mengah, penat macammana pun, asalkan dapat aku sampai ke penamat sebagai PEMENANG. Itu tekad si pemecut 100m.

Sifat, mantaliti dan sikap begini harus kita pasakkan benar di penghujung ramadhan ini. 10 malam terakhir menjanjikan ganjaran penuh dengan sifat targhib. Ganjaran malam seribu bulan, ganjaran pelepasan dari azab neraka adalah dua promosi extravaganza dari ALLAH SWT. Hanya di bulan bernama Ramadhan.

PROAKTIFKAN 11 BULAN

Latihan tarbawi Ramadhan ini akan dapat dilihat keberkesanannya pada aplikasi 11 bulan bakinya. Ia umpama booster yang menguatkan momentum kita untuk terus beribadah di sebelas bulan seterusnya. Jangan sampai sebelas bulan menjadi bulan yatim dari ibadah.

Akhir kalam, di kesempatan ini saya memohon berbanyak kemaafan dan keampunan dari semua teman-teman pembaca serta sesiapa yang mengenali diri ini. Maaf zahir batin dari hujung serban ke hujung capal. Mudah-mudahan.

Selamat Hari Raya Eid Fitri 1430 H.
Maaf Zahir Batin Buat semua.

Sumber : Quran Saintifik (Dr Danial Zainal Abidin)

alfath : syukran ustaz asyraf for this article

AddThis Social Bookmark Button


 

Design by Amanda @ Blogger Buster